Monday, February 21, 2011

Damai Yang Hilang

~Damai yang Hilang..:-(
 Tercalar pelangi dihiris gerimis
Senja pun merangkak menutup mentari
Terbias warnanya ke wajah

Lagu kedamaian tiada kedengaran
Bumi yang merekah disirami darah
Kemelut melanda tiada kesudahan
Kemusnahan bermaharajalela
Yang lemah menjadi mangsa

Anak-anak kecil mengongcangkan ibunya
Yang lemah longlai tak lagi bernyawa
Jeritan suara batinnya
Tak siapa mendengarnya

Tergadaikan maruah oleh janji-janji
Terbayarkah dengan nyawa dan darah
Soalan yang tiada jawapan

Kemanusiaan telah lama hilang
Kini yang tinggal hanya ketakutan
Musnah kasih sayang dan persaudaraan
Tandus akhlak dan keimanan
Menyemai persengketaan

Saya sangat tersentuh hati melihat kes penderaan yang dilakukan oleh pembantu rumah warga asing terhadap kanak-kanak yang semakin berleluasa pada masa kini. Mereka berkelakuan seperti binatang. Malahan, binatang juga sayangkan anak mereka. Inikan pula manusia yang dikurniakan akal dan fikiran yang waras. Hanya manusia yang sakit mental sahaja yang berkelakuan seperti itu. Kanak-kanak tersebut sepatutnya dibelai dan dimanja dengan penuh kasih sayang. Jika mereka melakukan kesalahan sekalipun hendaklah di tegur dan dihukum dengan sewajarnya. Pihak yang berwajib perlulah mengambil tindakan segera dalam mengatasi masalah seperti ini. :-(

Amah dera 4 anak majikan

PETALING JAYA 26 Okt. - Jika sebelum ini, kita sering mendengar kisah amah didera majikan, namun sebaliknya berlaku di Desa Subang Permai di sini, apabila pembantu rumah pula mendera empat anak majikan sehingga lebam seluruh badan.

Malangnya apabila majikan terbabit yang merupakan kakitangan kerajaan menyedari kejadian tersebut, wanita berkenaan, Susanti Lutifyah, 27, telah melarikan diri bersama wang tunai RM200 serta komputer riba miliknya.

Suspek yang berasal dari Malang, Jawa Barat, dikatakan mendera empat kanak-kanak itu iaitu perempuan berusia tujuh tahun, pasangan kembar lelaki dan perempuan berusia enam tahun, serta lelaki berusia setahun enam bulan.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh suspek sejak bekerja di rumah teres tersebut setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, ibu bapa kanak-kanak itu bagaimanapun hanya menyedari anak mereka didera setelah pembantu rumah tersebut melarikan diri pada awal pagi Jumaat lalu.

"Setelah pembantu rumah terbabit melarikan diri, barulah pasangan itu diberitahu oleh anak sulungnya berhubung penderaan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut majikan itu mendapati badan anak-anaknya lebam dan bengkak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Tambah beliau, berikutan kecederaan itu, dua daripada empat beradik tersebut yang berusia tujuh tahun dan salah seorang pasangan kembar dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

Sehubungan itu, polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan pembantu rumah terbabit yang dipercayai masih berada di dalam negara.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek boleh membuat laporan di balai polis terdekat atau menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.
~sumber dari : utusan malaysia online (27/10/2009)

No comments:

Post a Comment