Menaiki gondola ataupun lebih dikenali sebagai cabel car adalah salah satu daripada daya tarikan yang terdapat di Genting Highlands. Para pengunjung bolehlah menuju ke Genting Highlands Skyway untuk merasai pengalaman menaiki gondola ini. Kita akan disajikan dengan pemandangan yang cukup indah tatkala berada di dalam gondola. Benarlah kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan.
Namun, pengalaman yang saya tidak dapat dilupakan ialah apabila gondola yang saya naiki berhenti di tengah-tengah perjalanan semasa dalam perjalanan menurun ke kaki bukit. Sistem gondola terpaksa diberhentikan apabila tiupan angin kuat. Bolehkah anda bayangkan bagaimana perasaan anda apabila anda berada di dalam gondola yang tidak diketahui aras ketinggiannya? Daratan juga tidak kelihatan dek kabus yang tebal. Gondola yang dinaiki pula berbuai-buai oleh kerana angin kuat. Pernahkah anda perhatikan, bagaimanakah gondola itu di pasangkan pada wayar yang membawanya dari kaki bukit ke puncak bukit. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya hanya mampu untuk berdoa agar terhindar daripada segala bencana dan malapetaka. Alhamdulillah, setelah beberapa minit, gondola dapat meneruskan perjalanannya yang tertunda.